
Orang
ramai dinasihatkan supaya tidak membeli pendakap gigi menerusi internet
yang dijual murah kerana banyak produk seumpama itu tidak diiktiraf
pakar pergigian kerana mengandungi plumbum yang boleh menjadi punca
penyakit kanser usus.
Peringatan itu dikeluarkan oleh Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hasil kajian awal kementerian
terhadap kegiatan penjualan pendakap gigi di pasaran dalam talian.
Menurutnya, pendakap gigi semakin popular terutama dalam kalangan
remaja bukan kerana fungsi mencantikkan gigi tetapi lebih kepada trend
atau fesyen semasa.
“Kalau mahu
mencantikkan gigi, orang ramai perlu mendapatkan nasihat doktor dan
menggunakan pendakap gigi yang diiktiraf oleh pakar pergigian,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas Bentong
semalam.
Tiong Lai juga berkata, kerajaan boleh menyekat atau
mengawal penjualan pendakap gigi namun tidak boleh mengawal pembelian
menerusi internet.
Angkasawan Negara yang juga doktor gigi,
Mejar Dr. Faiz Khaleed ketika dihubungi semalam menganggap amalan
memakai pendakap gigi yang dibeli melalui internet berbahaya dan
merugikan diri sendiri.
“Pendakap gigi berkualiti diperbuat
daripada keluli tahan karat manakala peralatan sama yang dijual di
internet tidak diketahui asal usulnya,” kata beliau.
Walaupun
kos memasang set pendakap gigi di klinik boleh melebihi RM4,000, harga
bagi set yang mempunyai pelbagai corak di internet hanya RM150 hingga
RM170 sepasang.
#berhati-hati..jangan sebab nk cantik,diri sendiri yang akan menderita..^_^